Pengenalan
Jabatan
Unit
Lain-lain

Sekolah Dalam Hospital


Latar Belakang

 

Penubuhan Sekolah Dalam Hospital (SDH) merupakan satu inisiatif bersama antara Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Hospital Universiti dan Yayasan Nurul Yaqeen (YNY) terhadap keperluan meneruskan pendidikan kepada murid yang berada di wad hospital dan mempunyai kesediaan untuk belajar.

 

Pembelajaran di SDH berorientasikan didik hibur dan fleksibel dalam suasana persekitaran yang kondusif. Pendekatan ini secara tidak langsung merupakan satu terapi yang dapat membantu proses penyembuhan murid yang berada di hospital. Oleh itu, kelangsungan pembangunan modal insan dapat diteruskan di luar amalan persekolahan yang konvensional.

 



Penggunaan nama “Sekolah Dalam Hospital” telah dipersetujui dalam Mesyuarat Jawatankuasa Induk Sekolah Dalam Hospital KPM Bil. 4/2011 bertarikh 19 Mei 2011 yang dipengerusikan oleh Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (KPPM). Mesyuarat juga memutuskan bahawa Bahagian Pendidikan Khas (BPKhas) diberi tanggungjawab sebagai pentadbir dan pengurus SDH.

 

SDH Malaysia berpandukan Model Hospital School in Australia (The Children’s Hospital at Westmead, Royal North Shore Hospital and Sydney Children’s Hospital, Randwick) yang telah disesuaikan mengikut konteks Malaysia.

 

SEKOLAH DALAM HOSPITAL, HOSPITAL WANITA DAN KANAK-KANAK SABAH.


Pengenalan

 


Pada 2 Ogos 2014, En. Asfar Abdul Hamid menjadi guru pertama Sekolah Dalam Hospital, Hospital Wanita Dan Kanak-Kanak Sabah (SDH HWKKS) yang melapor diri untuk bertugas dan seterusnya menjadi wakil guru SDH yang menerima bekalan buku-buku rujukan dan alat tulis.

 

Pada 20 Ogos 2014, lima orang guru lagi melaporkan diri. Sepanjang bulan Ogos hingga September 2014 guru-guru telah memulakan persiapan yang meliputi aspek pengurusan, perancangan, persediaan dan pelaksanaan. Pada 1 Oktober 2014, SDH HWKKS secara rasmi memulakan operasinya; sesi pengajaran dan pembelajaran mula dijalankan di premis dan wad.

 

Masa pengoperasian bermula pada jam 9.00 pagi hingga 4.00 petang secara amnya dan takwim persekolahan adalah selaras dengan takwim yang dikeluarkan oleh KPM bagi Negeri Sabah.

 

Visi

 

Penyediaan akses pendidikan formal bagi murid yang mendapat rawatan secara berterusan di hospital.

 

Misi

 

Membangunkan Modal Insan murid bermasalah kesihaatan berasaskan:

 

  • Pendidikan berterusan secara formal dan berstruktur
  • Potensi diri berfokus kepada kesediaan dan keupayaan
  • Berorientasikan pendekatan didik hibur (fun learning) dan fleksibel dalam persekitaran yang kondusif.
  • Perkongsian pintar dengan pelbagai pihak

 

Objektif

Objektif penubuhan SDH serta pelaksanaan Projek Hati Nurani adalah seperti berikut:

 

  1. Memastikan pendidikan dapat diakses oleh semua kanak-kanak tanpa batasan dan keadaan.
  2. Menyediakan pendidikan berterusan secara formal dan berstruktur dalam persekitaran yang kondusif bagi murid yang sedang dirawat di Hospital.
  3. Mewujudkan kerjasama pintar antara KPM, KKM dan YNY dalam pendidikan.
  4. Menyokong dan memberi rangsangan kepada murid untuk meneruskan pembelajaran supaya tidak tercicir di dalam pelajaran.

 

Piagam Pelanggan

 

Kami warga SDH dengan penuh tekad dan iltizam berjanji menumpukan seluruh tenaga dan usaha kami untuk menjayakan Program Sekolah Dalam Hospital dengan cekap dan berkesan. Maka, kami berjanji untuk:

 

  1. Menerima semua murid bermasalah kesihatan yang dirujuk oleh pihak hospital;
  2. Menyediakan pendidikan formal yang berterusan dan berkualiti dalam persekitaran yang kondusif;
  3. Memastikan murid memperoleh pengalaman pembelajaran berorientasikan didik hibur dan fleksibel sebagai satu proses penyembuhan; dan
  4. Melaksanakan aktiviti kokurikulum sebagai aktiviti rekreasi mengikut kesesuaian dan tahap kesihatan murid.

 

Laman Rujukan : http://www.moe.gov.my/my/Pengurusan-SDH
 



The comments are owned by the author. We aren't responsible for their content.
W3C

A-      A+


reset
Log Masuk

Klik untuk log masuk
Pautan